Sabtu, 01 Februari 2014

Browse Manual » Wiring » » » » » » » KBS Belum Mahu Serah Kepada Swasta

KBS Belum Mahu Serah Kepada Swasta


PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum  berhasrat untuk menyerahkan hak penganjuran perlumbaan jelajah berbasikal berprestij di rantau ini, Le Tour de Langkawi (LTdL) kepada pihak swasta.

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu memerlukan pertimbangan teliti kerana KBS tidak mahu standard LTdL terjejas jika penganjurannya dilaksanakan swasta.

“Kita tidak mahu memberikan hak penganjuran (LTdL) kepada mereka yang tidak mampu mengekalkan tahap kecemerlangan penganjuran yang kita peroleh (daripada Kesatuan Berbasikal  Antarabangsa (UCI) selama empat tahun berturut-turut,” katanya dalam sidang berita selepas melancarkan edisi ke-19 LTdL di Dewan Serbaguna KBS di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KBS Datuk Jamil Salleh, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abdul Wahab.

Khairy berkata KBS dan MSN telah menerima pengiktirafan UCI sebagai penganjur terbaik dengan mencapai tahap ‘Excellent Level of Organization’ selama empat tahun berturut-turut.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan KBS akan menyerahkan penganjuran LTdL kepada swasta seperti Piala Monsun, dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Perkara sama telah kita lakukan terhadap penganjuran Piala Monsun di mana kerajaan dapat mengurangkan perbelanjaan secara beransur-ansur,” katanya.

Khairy berkata bagi edisi ke-19 LTdL, MSN masih menjadi penganjur perlumbaan itu yang berlangsung dari 27 Feb hingga 8 Mac depan merangkumi jarak sejauh 1,506.5km.

Menurutnya liputan meluas media tempatan dan antarabangsa mengenai perlumbaan itu juga boleh menjadi platform mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan lebih efektif. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar