Kamis, 20 Februari 2014

Browse Manual » Wiring » » » » » » Papar Pengorbanan Pemimpin Tertinggi Negara

Papar Pengorbanan Pemimpin Tertinggi Negara


Filem yang tertangguh sejak dari tahun lepas, Tanda Putera akhirnya bakal menemui penonton bermula 29 Ogos ini.

Filem berskala besar yang diarahkan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba ini mengisahkan pengorbanan kedua tokoh pemimpin negara iaitu Perdana Menteri Kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam memulihkan keadaan negara selepas insiden rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Tanda Putera dibintangi oleh pelakon handalan seperti Rusdi Ramli yang menjayakan peranan Tun Abdul Razak, Faezah Elai (Tun Rahah Noah), Zizan Nin (Tun Dr Ismail) dan Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin).

Kehebatan filem ini turut ditunjangi barisan artis lain seperti Riezaman Khuzaimi, Kavita Sidhu, Kuza, Norman Hakim, Razif Hashim, Sahee Shamsuddin, Nazril Idrus, Kuza dan Chew Kin Wah.

Bagi penulis, aura yang dibawa pelakon Zizan Nin lebih terasa menyerlah serta klimaks cerita ini lebih dirasai ketika Tun Abdul Razak telah kehilangan individu yang paling dipercayainya dan penulis percaya ramai akan menitiskan air mata ketika menyaksikan babak sedih tersebut.

Selain itu, pelakon baru Ahya U iaitu anak kepada dramatis Normah Damanhuri menunjukkan potensi boleh pergi lebih jauh dalam bidang seni lakon apabila wataknya sebagai Zaman, pekerja yang naif di pejabat Tun Abdul Razak kadang kala mampu mencuit hati penonton yang terhibur dengan lakonan bersahajanya.

Tak mustahil banyak produser akan mengambil Ahya membintangi naskhah filem atau drama-drama terbaru terbitan mereka selepas melihat aksinya dalam filem ini.

Selain itu, watak Chew Kin Wah selaku Ketua Komunis turut memainkan peranan besar dalam mengembangkan jalan cerita yang memaparkan pergolakan serta campur tangan pihak komunis dalam menimbulkan huru-hara terhadap keselamatan negara pada ketika itu.

Sempena dengan hari kemerdekaan yang ke 56, yang bakal disambut pada 31 Ogos sehingga 16 September ini, ayuhlah kita berduyun ke pawagam menyokong filem ini dalam menyemarakan rasa cinta dan patriotik terhadap negara.

Filem ini diterbitkan oleh Pesona Pictures dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Jangan lupa saksikan Tanda Putera bermula 29 Ogos nanti!

Rating: 4/5 bintang

Sinopsis: Tanda Putera mengisahkan bagaimana dua tokoh pemimpin negara, Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman mengharungi cabaran getir pergolakan 13 Mei 1969. Filem ini meraikan keberanian, dedikasi dan patriotisme kedua-dua pemimpin ini yang berjaya membawa kestabilan dan keharmonian negara walau terpaksa bertarung dengan masalah kesihatan yang kritikal.

Oleh: JULIANA JOHAR

Tidak ada komentar:

Posting Komentar